Hukum Jenazah Bayi Yang Gugur
PENDAPAT AL-SYAFIEYYAH,[1]
Sekiranya kandungan gugur sebelum cukup tempoh mengandung (minimum) iaitu 6 bulan 2 lahzah:
1. Sekiranya diketahui hayatnya maka ia diuruskan seperti orang dewasa, wajib dimandikannya.
2. Sekiranya tidak diketahui hayatnya:
i. Seandainya zahir rupa bentuk manusia maka wajib dimandikan tanpa perlu solat ke atasnya.
ii. Seandainya tidak zahir rupa bentuk manusia, maka tidak wajib dimandikan.
Manakala sekiranya kandungan gugur lebih daripada yang dinyatakan di atas (6 bulan 2 lahzah) maka wajib dimandikan sekalipun telah mati apabila keluar. Sunat ianya diberi nama dengan syarat roh telah ditiupkan kepada kandungan tersebut.
PENDAPAT AL-HANAFIYYAH,
Sekiranya kandungan itu keluar dalam keadaan hidup seperti dengar suaranya atau dilihat pergerakannya kemudian gugur maka wajib dimandikannya sama ada tidak cukup tempoh hamil atau cukup tempohnya.
Sekiranya ia telah mati ketika keluar dan sempurna rupa bentuk manusia maka wajib dimandikan. Seandainya tidak sempurna rupa bentuknya bahkan sebahagiannya sahaja maka tidak perlu dimandikan sebagaimana biasa tetapi cukuplah sekadar menjiruskannya dengan air dan dibalut dengan kain dan diberikan nama ke atasnya kerana ia akan bersama-sama di padang Mahsyar kelak.
PENDAPAT AL-HANABILAH,
Sekiranya gugur dan sempurna di dalam kandungan ibunya iaitu cukup 4 bulan kemudian keluar maka wajib dimandikan. Sekiranya gugur sebelum daripada tempoh itu maka tidak wajib dimandikan.
PENDAPAT AL-MALIKIYAAH,
Sekiranya ada hayat mustaqirrah maka wajib dimandikan dan seandainya sebaliknya maka hukum adalah makruh.
*Diwajibkan solat jenazah bagi bayi yang gugur sekiranya diwajibkan mandi atasnya seperti mana yang dibincang tadi. [2]