Khidmat doula
Soalan :
Apakah hukum bersalin dengan hanya dihadiri doula kerana ingin bersalin secara natural tanpa dihadiri doktor dari segi maqasid shariah?
Jawapan:
Doula pada kebiasaannya adalah ‘wanita yang tiada latihan perbidanan yang formal, diambil bekerja untuk memberi panduan dan sokongan kepada wanita semasa proses kelahiran’. Fungsi mereka hanya untuk memberi sokongan emosi, pendidikan serta fizikal sebelum, semasa dan selepas bersalin. Mereka juga tidak bertauliah merawat atau mengendalikan sebarang kecemasan berkaitan proses kelahiran.
Perkhidmatan doula yang tidak terlatih tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan terlatih. Kelahiran bayi itu disambut oleh individu yang bukan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.
Antara contoh kes apabila kelahiran di rumah, bertemankan doula (peneman bersalin) dan menolak nasihat doktor untuk bersalin di hospital, kematian kerana bayi songsang, kematian ibu akibat tumpah darah setelah uri dibiarkan di dalam rahim selama beberapa jam, tali pusat melilit leher bayi hingga sukar bernafas dan memerlukan alat bantu pernafasan, ada kes kelahiran memakan masa terlalu lama sehingga bayi terpaksa dikeluarkan secara pembedahan yang semua kes terbabit hanya boleh dikendalikan di hospital.
Melahirkan anak adalah satu proses berisiko tinggi jika dilakukan di rumah kerana perkara paling utama ketika kelahiran adalah memastikan ibu dan bayi selamat. Menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah.
Hadith Rasulullah SAW bersabda: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat.
Hukum menggunakan perkhidmatan doula tidak terlatih adalah haram disisi Islam, kerana boleh membahayakan nyawa. Untuk melindungi nyawa, adalah menjadi wajib untuk kita memilih kaedah lebih baik. Perubatan moden bertujuan mengurangkan risiko sebegini, bukannya berniat menyusahkan ibu-ibu.