Melabur saham di aplikasi kontemporari
Soalan:
Hukum melabur saham di aplikasi-aplikasi kontemporari seperti Bitcoin, Forex dan yang seangkatan dengannya?
Jawapan:
Di Malaysia, pelaburan di dalam pasaran modal dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commision). Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada 1996 untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dari pakar-pakar fiqh muamalat berkaitan isu-isu pelaburan menurut pandangan syarak.
Kriteria utama dalam penentuan saham patuh syariah ialah dengan meneliti aktiviti-aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh sesebuah syarikat. Berdasarkan analisa MPS terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w terdapat 4 jenis perniagaan yang diharamkan sepenuhnya iaitu:
- Perniagaan berasaskan riba.
- Perniagaan yang berasaskan kepada aktiviti perjudian.
- Perniagaan yang berasaskan kepada pengeluaran barang dan penyediaan yang dilarang oleh Islam. Pelaburan dalam perniagaan seperti ini menyalahi hukum syarak.
- Perniagaan yang mempunyai unsur-unsur gharar (ketidakpastian) seperti insurans konvensional.
Antara syarat perdagangan matawang ialah penukaran (serah dan terima) dalam waktu yang sama, manakala pembelian secara hutang adalah haram.
Kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi konvensional adalah FOREX yang menggunakan ‘ Value Forward ’ (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam Riba Nasiah.