Mendahulukan aqiqah atau qurban
Soalan:
Saya ada kemusykilan tentang hukum aqiqah pada usia dewasa. Mana yang perlu didahulukan, aqiqah untuk diri sendiri atau qurban.
Jawapan:
Ibadah qurban hanya boleh dilakukan pada 10, 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Ia adalah ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah, menghayati semangat pengorbanan agung Nabi Ibrahim ketika Allah menguji Baginda menyembelih anaknya.
Ibadah aqiqah dilakukan bermula setelah kesemua tubuh bayi itu keluar daripada perut ibunya sehingga dia baligh. Setelah baligh dia sendiri akan melakukan aqiqah ke atas dirinya. Aqiqah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Aqiqah menyatakan rasa gembira ibu bapa yang dikurniakan anak.
Dalam hal ini, terdapat dua (2) situasi yang boleh kita rungkaikan permasalahan ini.
- Dari segi tuntutan: Sudah semestinya Ibadah Aqiqah yang perlu diutamakan. Bahkan ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Aqiqah ke atas anaknya. Tetapi, jika sekiranya si anak sudah dewasa (baligh), maka dia boleh melaksanakan Aqiqah untuk dirinya sendiri.
- Dari segi waktu: Apabila menjelang masuknya bulan Zulhijjah, dan telah hampir kepada waktu qurban, maka lebih utama melaksanakan Ibadah qurban terlebih dahulu kerana waktu pelaksanaannya pada 10-13 Zulhijjah sahaja pada setiap tahun. Manakala Aqiqah pula boleh dilaksanakan bila-bila masa. Jika berkemampuan, boleh laksanakan kedua-duanya sekali.