Menghadkan bilangan anak
Soalan :
Ada sesetengah Negara meletakkan undang-undang untuk menghadkan bilangan anak-anak dalam setiap keluarga, sekiranya satu hari nanti Malaysia berbuat sedemikian, adakah ianya dibenarkan di dalam Islam?
Jawapan:
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-12 yang bersidang pada 20 Februari 1977 telah membincangkan Rancangan Keluarga. Persidangan telah memutuskan bahawa Rancangan Keluarga mengandungi tiga bahagian, iaitu:
- Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya adalah haram.
- Mencegahkan beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang-orang perseorangan.
- Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang lain daripada (a) dan (b) di atas adalah harus.
Kesimpulannya:
- Harus merancang keluarga atas sebab-sebab yg diharuskan syarak, umpamanya atas faktor kesihatan ibu, anak dan faktor kesihatan mental dan fizikal si ibu.
- Haram merancang keluarga atas sebab ekonomi sebagaimana firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 31, yang bermaksud “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.”
- Haram merancang keluarga secara kekal seperti ikat peranakan dan memandulkan lelaki.