Pengawal keselamatan tidak solat Jumaat
Soalan :
Isu yang kami hadapi ialah berkenaan Pengawal Keselamatan tidak dapat melaksanakan solat Jumaat di masjid kerana tidak boleh meninggalkan pos masing-masing atas sebab keselamatan premis dan warga Kolej UNITI.
Jawapan :
Setiap orang Islam yang sudah baligh dan berakal adalah diwajibkan menunaikan solat fardu Jumaat kecuali uzur syarie seperti sakit dan sebagainya. Jika suatu kerja atau tugas itu membabitkan kepentingan awam atau menjaga kemaslahatan/kepentingan yang tidak dapat dielakkan (dari menjaga dan memerhatikannya sepanjang masa termasuk ketika waktu jumaat), orang terbabit harus meninggalkan solat jumaat kerana berlaku keuzuran yang tidak dapat dielakkan tetapi dengan syarat tidak boleh meninggalkan solat jumaat lebih dari tiga kali Jumaat berturut-turut. Mereka hendaklah menggantikan solat jumaat mereka dengan solat zohor.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oct 1985 telah membincangkan Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas.
Muzakarah telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut.