Penggunaan dana masjid
Soalan:
Saya selaku individu yang terlibat menguruskan dana masjid/surau ingin mohon pandangan tentang hukum penggunaan wang masjid/surau diberikan kepada masyarakat sebagai sumbangan kebajikan sempena musim covid ini.
Jawapan:
Pihak masjid/surau hendaklah memastikan sumber atau tujuan dana masjid/surau yang terkumpul seperti derma individu atau organisasi kedalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya yang dimasukkan kedalam akaun masjid/surau. Berikut adalah kategori dana masjid/surau dan perbelanjaannya:
Wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid / surau;
Wajib dibelanjakan untuk pembangunan fizikal masjid yang berkenaan seperti pembelian tapak masjid / surau, membina, membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, perkakasan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid / surau berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.
Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid / surau yang tertentu;
Wajib dibelanja atau diguna untuk manfaat dan maslahat masjid / surau yang ditentukan itu. Ia tidak boleh dibelanja, dipindah atau digunakan kepada masjid / surau lain sebagai menghormati niat pewakaf berkenaan.
Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat / kebajikan kepada sesebuah masjid / surau;
Harus dimanfaatkan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah dan anak kariah masjid / surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid / surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah dan anak kariah masjid / surau dan sebagainya.
Wang yang didermakan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu;
Ia harus dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Majlis Doa Selamat Pergi / Balik Haji, Majlis Sambutan Hari Kebesaran Islam dan sebagainya. Baki atau lebihan wang daripada pungutan derma khas yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa pada masa akan datang. Jika hendak dibelanjakan baki atau lebihan derma tersebut kepada aktiviti / majlis yang lain, wajiblah dihebahkan kepada orang-orang yang berderma untuk makluman.
Jika tidak diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘uruf’) sesebuah masjid / surau dalam membelanjakan wang derma itu. Pihak Jawatankuasa harus merancang dan membelanjakan lebihan wang tabung masjid / surau tersebut untuk maslahah anak kariah secara khusus mahupun untuk kepentingan ummat Islam secara umum tertakluk kepada budi bicara serta kebijaksanaan masing-masing dengan syarat ia diurus dengan penuh amanah dan hikmah.
Tabung masjid atau surau sekiranya bukan berbentuk tabung yang dikhususkan untuk tujuan tertentu, pada asasnya merupakan wang derma yang disumbangkan oleh umat Islam dengan niat untuk kemaslahatan masjid atau surau dan ahli kariah. Maka ia boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada sesiapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.
Penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan dengan kaedah dan pemantauan yang rapi oleh Pengurusan Masjid / Surau. Bentuk dan kadar bantuan diserahkan kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dengan mengambil kira beberapa faktor serta mengikut kemampuan pihak masjid.