Rakaman azan atau azan radio
Soalan:
Apakah hukumnya masjid /surau mengundangkan azan dari kaset rakaman? Adakah sah atau tidak sah dan mohon penjelasanya beserta dalil. Terima Kasih.
Jawapan :
Azan di dalam Islam adalah ibadah dan mesti dilaksanakan oleh seorang yang sah ibadahnya. Syeikh ‘Athiyah Saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa al-Azhar) dalam fatwanya menegaskan; Tidak memadai rakaman azan atau azan radio bagi menggantikan tuntutan melaungkan azan kerana kaum muslimin dituntut agar melaungkan azan apabila masuk waktu solat sebagaimana perintah Nabi s.a.w
إذا حضرت الصلاة فليؤذن لكم أحدكم وليؤمكم أكبركم
Yang bermaksud, Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.
(Bukhari dan Muslim daripada Malik bin al-Huwairith r.a).
Laungan azan adalah dituntut oleh Syarak untuk dilaksanakan dalam masyarakat Islam. Meninggalkannya adalah makruh (mengikut pandangan yang berkata ia sunat muakkad) atau berdosa (mengikut pandangan yang berkata ia adalah fardhu kifayah). Perlaksanaan azan itu mestilah dengan dilakukan oleh seorang muslim secara langsung.
Maka menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin di setiap masjid (atau tempat didirikan solat) untuk menentukan dalam kalangan mereka seorang yang dapat melaksanakan seruan azan dengan baik pada setiap waktu solat sebagaimana yang menjadi amalan yang diwarisi sejak dari zaman Nabi s.a.w hingga hari ini. Tidak memadai dengan mereka hanya memutarkan rakaman azan atau dengan azan radio sahaja.