Solat subuh dalam keretapi
Soalan:
Saya mendapat tawaran pekerjaan di Kuala Lumpur. Saya tinggal bersama ibu bapa di Seremban, Negeri Sembilan. Saya hanya mempunyai pilihan untuk berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur setiap hari dengan menaiki KTM Komuter atas kekangan kewangan. Akan tetapi, waktu yang paling sesuai untuk menepati jadual kerja saya adalah dengan menaiki tren pada pukul 5.45 pagi sedangkan waktu solat Subuh masuk pada jam 6 pagi. Keadaan saya yang begitu banyak kekangan ini menyebabkan sukar untuk saya mencari alternatif lain.
Soalan saya, adakah saya boleh menunaikan solat subuh di dalam tren setiap hari?
Jawapan:
Menunaikan Solat Fardhu Subuh adalah kewajipan seorang Muslim setiap hari. Untuk mengatasi masalah diatas, kami bentangkan beberapa perkara berkaitan sebagai satu cadangan:
- Jika mampu, saudari mestilah solat secara biasa dengan menghadap kiblat di dalam keretapi tersebut (jika disediakan tempat khas untuk solat oleh pihak KTM)
- Jika tidak mampu solat secara biasa kerana kesukaran mengetahui kiblat, kesesakan dalam keretapi atau tidak ada tempat khas untuk rukuk dan sujud dengan sempurna, saudari boleh menunaikan solat secara duduk dengan menggunakan isyarat kepala atau sebagainya. Solat ini dikira sebagai solat menghormati waktu.
- Saudari perlu mengulang solat subuh secara sempurna sekiranya masih ada waktu ketika sampai di stesen keretapi. Jika waktu sudah luput, saudari perlu menggantikan solat tersebut pada waktu yang lain.