Tanah wakaf
saya ingin bertanya , sekiranya moyang kepada ibu saya pernah mewakafkan sebidang tanah untuk didirikan masjid. Masjid itu pernah digunakan dahulu, tetapi sekarang masjid itu tidak berfungsi kerana keuzuran dan terlalu kecil untuk kawasan persekitaran. Pihak masjid telah memulangkan semula tanah itu kepada pewaris semula. Dan tanah itu telah dibayar cukainya oleh ibu saya setiap tahun.
Soalannya:
Apakah tanah itu masih wakaf dan bolehkah sesuatu pembinaan dibuat diatas tapak masjid wakaf itu?
Jawapan:
Tanah itu masih lagi dianggap tanah wakaf selagi ia wujud atau ada. Jika ingin menukar status wakaf masjid kepada pembinaan lain maka perlu kepada kelulusan dan pandangan pihak jawatankuasa fatwa negeri. Proses ini dipanggil proses istibdal harta wakaf.
Penggunaan harta wakaf
Harta wakaf tidak harus dijual beli, dihibah atau diwarisi, sama ada oleh pewaqaf atau penerima waqaf, sama ada penerima khusus atau tidak khusus. Ia tetap menjadi hak Allah. Penggunaan manfaatnya terserah kepada penerima waqaf, dan seboleh-bolehnya diuruskan menurut ketetapan pewaqafnya. (Fiqh Manhaji, Jilid 5, m/s 39 )