Zakat/fidyah
Soalan:
Saya nak tanya beberapa soalan berkaitan fidyah.
- Golongan faqir dan miskin adalah golongan yang layak terima, apakah definisi sebenar 2 golongan ini?
- Saya ingin mengenal pasti status saya, adakah saya kelompok layak terima fidyah? Ayah saya baru pencen, ibu tidak bekerja, adik beradik 8 orang, seorang sudah bernikah manakala 2 lagi sudah bekerja. Saya seorang pelajar di luar negara yang hanya bergantung pada duit zakat dan pinjaman.
- Jika saya sudah menerima duit fidyah dari seseorang sedangkan saya tidak layak, adakah saya boleh infakkan kepada golongan faqir dan miskin yang sebenar meskipun akad atas nama saya? Dan adakah bayaran fidyah tersebut dikira sah sebab saya sudah memberi kepada insan yang lebih layak menerimanya?
Jawapan 1:
Takrifan Asnaf – Fakir
Fakir ialah seorang yang tidak mempunyai sebarang harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain tetapi jumlahnya tidak sampai 50% daripada had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.
Kriteria Asnaf Fakir :
- Orang yang tiada harta atau pendapatan kerana hilang upaya bekerja dengan sebab :
- Hilang keupayaan fizikal seperti uzur, cacat, sakit berpanjangan dan seumpamanya.
- Hilang keupayaan mental seperti gila, sakit mental, hilang ingatan dan seumpamanya.
- Orang yang ada harta atau pekerjaan atau pendapatan, tetapi tidak mencapai 50% had kifayah dirinya dan tanggungannya.
- Orang yang kehilangan sumber nafkah secara kekal dan tiada ahli keluarga yang dapat menyara kehidupannya.
- Kefakiran berlaku bukan disebabkan malas bekerja atau tidak berusaha mencari pekerjaan.
- Mendapat bantuan daripada mana-mana pihak tetapi masih tidak mencukupi had kifayah.
Takrifan Asnaf – Miskin
Miskin ialah seorang yang mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang melebihi 50% had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.
Kriteria Asnaf Miskin
- Orang yang memiliki harta atau pekerjaan atau pendapatan tetapi tidak mampu menampung had kifayah dirinya dan tanggungannya.
- Harta atau pendapatan yang dimiliki mampu menampung lebih 50% keperluan asasi dirinya dan tanggungannya tetapi masih belum mencukupi had kifayah.
- Orang yang memiliki harta atau pendapatan tetapi tidak mencukupi untuk menanggung kos keperluan asasi yang tinggi seperti kos rawatan.
- Kemiskinan yang sementara atau mendesak.
Jawapan 2:
Saudari seorang pelajar dan termasuk kategori asnaf Riqab dan layak menerima zakat.
Definisi asnaf Riqab ialah – Orang Islam yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan dirinya daripada belenggu tersebut.
Skim Asnaf Riqab :
- Dermasiswa Pelajaran
- Bantuan Sekolah Agama Rakyat
- Pembudayaan Al-Quran Dan Ilmu
- Bantuan kepada Sek.Men.Agama di Negeri Sembilan
- Bantuan Kebajikan Am IPT
- Bantuan Kebajikan Persekolahan
- Saguhati Pelajar Timur Tengah
- Pembayaran Elaun Penyelia Kafa
- Bantuan Perpustakaan Sek.Agama
- Bantuan Aktiviti Institusi Pendidikan
Jawapan 3:
Fidyah tidak boleh diberi kepada mana-mana individu tanpa mengetahui kedudukannya.
Berdasarkan ayat 184 surah al-Baqarah dan hadis Nabi, fidyah hendaklah diberikan kepada golongan miskin. Fakir adalah termasuk dalam kategori ini berdasarkan qiyas bahawa keadaannya yang lebih serius berbanding orang miskin.
Surah al-Baqarah, ayat 184
… فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ …
Maksudya: “…membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin…”
Ayat tersebut jelas menyatakan bahawa bayaran fidyah puasa itu adalah untuk orang miskin dan tiada keterangan yang menyatakan untuk mereka yang lain seperti asnaf zakat yang lapan.