Zakat fitrah secara online
Soalan:
Jika sebuah keluarga menggunakan beras basmathi yg sekilogram harga dalam RM5. Jika mengikut makanan ruji mereka, zakat fitrahnya ialah RM13 seorang berdasarkan 2.60 kg x RM5. Adakah zakat fitrah mereka ikut seperti di atas atau ikut keputusan MAINS ialah RM7.00. Kalau keluarga ini kena bayar mengikut makanan ruji mereka, bagaimana akad dan bayaran atas talian dapat disempurnakan?
Jawapan:
Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafie, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk, iaitu berdasarkan jenis purata beras yang dimakan penduduk sesebuah negeri.
Sunat hukumnya jika seseorang individu ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan dan melebihi kadar minimum yang ditetapkan oleh MAINS sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat.
Hukum pembayaran zakat secara elektronik dan online adalah harus, ini berdasarkan kepada fatwa, ‘kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS sama ada secara prabayar atau pascabayar adalah harus.’
Pembayaran zakat sah sekiranya tidak disertakan akad ijab dan qabul. Kerana syarat wajib zakat fitrah ialah,
- Islam
- Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.
- Mampu; memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan bagi diri dan tangungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat tinggal.