Berkahwin dengan pesakit AIDS
Soalan:
- Apakah hukum perkahwinan di antara pasangan HIV +ve dengan pasangan yang HIV –ve?
- Sekiranya pasangan yang HIV +ve tersebut telah pun mendapat status “virus undetected” dan pengesahan daripada doctor pakar, apakah hukumperkahwinan mereka?
- Adakah hukum pesakit HIV hanya berkahwin dengan pesakit HIV sahaja dalam Islam?
Jawapan:
Perkahwinan antara pesakit AIDS dan pasangannya yang sihat adalah sah mengikut syariat Islam jika cukup rukun dan syarat nikah.
Sekiranya pasangan yang HIV +ve tersebut telah pun mendapat status “virus undetected” dan pengesahan daripada doctor pakar, pasangan mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Bagi pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan sekalipun mengetahui pasangannya menghidap AIDS, maka sesi kaunseling akan dijalankan agar pasangan mengetahui risiko yang bakal dihadapi serta mengambil langkah-langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan.
Islam tidak menghalang mana-mana pasangan untuk berkahwin sekiranya kedua-duanya menghidap AIDS kerana tiada unsur menzalimi dan memudaratkan antara satu sama lain. Namun, terdapat perbahasan jika salah seorang daripada pasangan bersetuju untuk berkahwin dengan pasangannya walaupun mengetahui pasangannya itu mengidap AIDS. Jika pasangan yang sihat itu adalah wanita, maka walinya berhak menegahnya daripada berkahwin dengan pesakit AIDS berdasarkan pandangan jumhur ulama.
Walaupun undang-undang sedia ada membenarkan mereka yang sihat berkahwin dengan pesakit AIDS (selepas diberi kaunseling). Wali, pemerintah atau hakim hendaklah melarang perkahwinan tersebut kerana ia akan membahayakan pasangan yang sihat. Ia bertepatan dengan kaedah ‘tidak ada mudarat dan tiada yang memudaratkan’. Di samping itu, perkahwinan antara pasangan yang sihat dan pesakit AIDS bertentangan dengan maqāsid syar‘iyyah iaitu maslahah menjaga nyawa dan keturunan. Perkahwinan mereka juga sudah pasti akan menjejaskan keharmonian rumahtangga antara kerana tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan hubungan seks dan mendapat zuriat.