Rawatan perubatan yang meragukan
Soalan:
Saya ingin bertanya soalan berkenaan rawatan Islam yang sebenar.
Ibu dan bapa saya mengalami masalah rumah tangga akibat kecurangan ayah. Lalu ibu saya mendapatkan rawatan dari seorang individu yang mendakwa dirinya seorang ustaz dan boleh mengembalikan ayah saya pulih seperti sedia kala daripada menduakan ibu saya. Kaedah rawatan tersebut: amalkan zikir, memberikan upah harga seekor kambing hitam yang akan didermakan kepada pusat tahfiz, menanam telur di perkuburan dan minum air rendaman tulisan ayat-ayat al quran. Amalan ini agak meragukan pada pandangan saya dan khuatir ia jatuh syirik.
Justeru itu, saya inginkan hukum berkenaan rawatan seperti ini dan jawapan hukum tersebut saya inginkan dalam bentuk bertulis dari unit istinbat hukum jabatan mufti (melalui emel / surat bertulis) Ini kerana, ibu saya sangat yakin dengan ustaz tersebut dan tidak mempercayai kami selaku anak-anak yang menasihatinya. Oleh itu, saya ingin tunjukkan kepada ibu saya bukti/nas ia adalah silap (jika terbukti amalan itu silap). Bersama sama ini sy sertakan poster khidmat yang ditawarkan ustaz tersebut.
Jawapan:
Amalan perubatan/rawatan seperti puan nyatakan adalah meragukan dan bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam yang sebenar. Sebagai orang Islam hendaklah menghindari dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan amalan perbomohan yang sedemikian. Puan boleh merujuk Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh Jakim sebagai bahan rujukan dan maklumat. (http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_perbomohan_menurut_islam.pdf)