Wuduk yang sempurna
Soalan:
Wuduk yang sempurna adalah penting dalam solat. Apakah yang dimaksudkan dengan wuduk yang sempurna?
Jawapan:
Wuduk yang sempurna ialah mengambil wuduk dengan rukun dan sunat yang dilakukan secara sempurna syarat dan tertibnya serta membaca doa setelah wuduk.
Antara nas yang menyatakan tentang wuduk
- Surah al-Maidah ayat 6
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَيۡنِۚ …
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah dua belah kaki kamu meliputi buku lali …
- Hadith
أَنَّ عُثْمَانَ دَعَا بِوَضُوْءٍ فَتَوَضَّأَ: فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْمِرْفَقِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى مِثْلَ ذلِكَ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِ هذَا ثُمَّ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِ هَذَا ثُمَّ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيْهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
(Muslim 226)
Yang bermaksud, Usman bin ‘Affan ra minta diambilkan air wuduk lalu berwuduk. Dia basuh dua tapak tangannya tiga kali. Kemudian berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung lalu mengeluarkannya. Lalu membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh tangan kanannya hingga siku tiga kali, begitu pula dengan tangan kirinya. Setelah itu, dia usap kepalanya lantas membasuh kaki kanannya hingga buku lali tiga kali, begitu juga dengan kaki kirinya. Dia kemudian berkata, ‘Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk sebagaimana wudukku ini, kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat dan tidak berkata-kata dalam hati dalam kedua-dua rakaat tadi, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.